Sabtu, 19 Februari 2011

BERCAKAP BOHONG


Dalam menjalani kehidupan seharian, kejujuran itu sangat penting. Namun masih ada segelintir golongan manusia yang suka berbohong. Sifat ini tidak akan mampu diatasi jika kita sudah terbiasa berbohong. Untuk meninggalkannya, kita perlu semangat jihad yang tinggi serta istiqamah, barulah kita akan dapat meninggalkannya. Ada satu kisah pada zaman Rasulullah yang boleh kita teladani tentang hikmah meninggalkan cakap bohong. 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim, menceritakan pada suatu hari ada seorang lelaki telah datang berjumpa dengan Rasulullah SAW kerana hendak memeluk agama Islam. Sesudah mengucapkan dua kalimah syahadat, lelaki itu lalu berkata: “ ya Rasulullah, sebenarnya hamba ini selalu sahaja berbuat dosa dan payah hendak meninggalkannya.” Maka Rasulullah menjawab: “ mahukah engkau berjanji bahawa engkau sanggup untuk meninggalkan cakap bohong?” “ya saya berjanji” jawab lelaki itu singkat. Selepas itu, dia pun pulanglah ke rumahnya.

Menurut riwayat, sebelum lelaki itu memeluk agama Islam, dia sangat terkenal sebagai seorang yang jahat. Kegemarannya hanyalah mencuri, berjudi dan meminum minuman keras. Maka setelah dia memeluk agama Islam, dia sedaya upaya untuk meninggalkan segala keburukan itu. Sebab itulah, dia meminta nasihat Rasulullah SAW. Dalam perjalanan pulang dari menemui Rasulullah SAW, dia berkata dalam hatinya: “ berat juga aku hendak meninggalkan apa yang dikehendaki oleh Rasulullah.”

Maka setiap kali hatinya terdorong untuk berbuat jahat, hati kecilnya terus mengejek: “ Berani engkau berbuat jahat. Apakah jawapan kamu nanti apabila ditanya oleh Rasulullah. Sanggupkah engkau berbohong kepadanya.” Setiap kali dia berniat untuk berbuat jahat, maka dia teringat segala pesan Rasulullah SAW dan setiap kali pulalah hatinya berkata: “ Kalau aku berbohong kepada Rasulullah bererti aku telah mengkhianati janjiku padanya. Sebaliknya jika aku bercakap benar bererti aku akan menerima hukuman sebagai orang Islam. Oh Tuhan… sesungguhnya di dalam pesanan Rasulullah itu terkandung sebuah hikmah yang sangat berharga.”

Setelah dia berjuang dengan hawa nafsunya itu, akhirnya lelaki itu berjaya di dalam perjuangannya menentang kehendak nalurinya. Menurut hadis itu lagi, sejak dari hari itu, bermulalah babak baru dalam hidupnya. Dia telah berhijrah dari kejahatan kepada kemuliaan hidup seperti yang digariskan oleh Rasulullah SAW. Akhirnya, dia menjadi seorang mukmin yang soleh dan mulia.

Subhanallah…itulah hikmah meninggalkan cakap bohong. Dari kejahatan berubah menjadi seorang insan yang mulia..Rasulullah adalah contoh teladan yang terbaik, maka kita perlu mentaati perintah Allah dan rasulnya serta menjauhi larangannya. Jangan jadi macam Pinocchio kat dalam gambar tu ea..hihihi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan